mutakhir

Pengorbanan untuk adik

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“SELEPAS bergelar yatim piatu, kini saya jadi ibu dan ayah kepada Hamin selain perlu menguruskan keperluan persekolahannya,” kata Fatin Nabila Rusli, 20.

Menurut Fatin Nabila, sebagai kakak, dia perlu menggalas tanggungjawab kepada adiknya, Muhammad Hamin, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sering walaupun pada masa sama menjadi isteri kepada Muhammad Hanif Kamarudin, 28, dan ibu kepada dua cahaya mata masing-masing berusia tiga dan lima tahun.

Katanya, bapa mereka, Rusli Daud, meninggal dunia pada 2008 kerana demam panas disusuli ibu, Rusnah Yusoff, empat tahun lalu disebabkan tekanan darah rendah.

Menurutnya, dua adiknya, Muhammad Arif Ridzuan, 14, dan Muhammad Zawawi, 16, yang bersekolah di SMK Kedai Buloh dijaga datuk serta nenek selepas ibu mereka meninggal dunia.

“Adik bongsu, Nur Salwani terpaksa diserahkan kepada keluarga angkat ketika dia berusia enam bulan selepas beberapa hari arwah ayah meninggal dunia kerana pada waktu itu arwah ibu tidak mampu menyara kami sekeluarga.

“Kami terpaksa hidup berasingan, namun reda demi memastikan masa depan adik-adik yang masih memerlukan perhatian itu lebih terjamin,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Kasar, Sering, Kota Bharu baru-baru ini.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, Muhammad Hamin memilih untuk tinggal bersamanya walaupun sebelum ini ada keluarga yang mahu mengambilnya sebagai anak angkat selepas kematian kedua-dua ibu bapa.

“Saya dan Hamin sangat rapat sejak dari kecil dan sebab itu dia mahu tinggal bersama dan mujurlah suami memahami dan mengambil berat keperluan adik.

“Untuk menampung kehidupan kami sekeluarga, sumber pendapatan hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan antara RM50 hingga RM60 sehari.

“Dengan gaji suami yang tidak seberapa ini, saya perlu berjimat cermat selain bijak mengatur kewangan keluarga kerana anak-anak semakin membesar dan dalam masa sama bakal melahirkan anak ketiga April ini,” katanya.

Fatin Nabila berkata, beban yang ditanggung sedikit ringan kerana mereka mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM100 sebulan yang dapat digunakan untuk perbelanjaan sekolah adiknya.

Menurutnya, kakak sulung, Farah Amira, 22, sudah berkahwin dan tinggal bersama suami serta anak-anaknya di Beris, Bachok, juga bukan dalam kalangan orang yang senang dan mereka tidak mahu menyusahkannya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 03003-41-00013586-9, atas nama Fatin Nabila Rusli.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 10:10am
d