mutakhir

Skim Peduli Kesihatan B40 dilancar bulan depan

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan melancarkan Skim Peduli Kesihatan B40 (PekaB40) bulan depan secara kolaborasi dengan syarikat milik penuhnya, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

Ketua Pegawai Eksekutif, ProtectHealth Datuk Ab Latif Abu Bakar berkata, sebagai permulaan, program ini menyasarkan golongan berumur 50 tahun dan ke atas dengan memberi fokus penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah kolesterol.

Beliau berkata, program itu bagi membolehkan KKM menyediakan perkhidmatan perubatan percuma kepada kumpulan B40 yang dianggarkan berjumlah 3.94 juta orang.

“Mengikut statistik, mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas berisiko tinggi untuk menghidap penyakit tersebut. Golongan ini adalah penghidap NCD yang paling tinggi iaitu kira-kira 47.6 peratus.

“Kami nak mencegah sebelum merawat. Ia bagi mengurangkan kos perubatan jika mereka terkena penyakit itu. Kami dah buat simulasi dan kajian, dan inilah golongan yang kami rasa perlu disasarkan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di Kuala Lumpur, malam tadi.

Katanya jika projek perintis ini berjaya, kerajaan memberi jaminan untuk membuka ruang kepada golongan B40 secara keseluruhan yang dianggarkan berjumlah lebih tujuh juta orang.

Ab Latif turut menyeru anak-anak daripada kumpulan berpendapatan rendah agar sering menyemak laman sesawang http://pekab40.com.my/ bagi mengetahui perkembangan terkini program itu serta membawa ibu bapa mereka ke klinik untuk membuat ujian saringan.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 10:49am
d