mutakhir

Dua hari bersihkan Sungai Klang

Oleh Siraj Mohd Zaini

PROSES pembersihan bahan kimia di sekitar Sungai Klang berhampiran Taman Eng Ann, di Shah Alam dijangka mengambil masa dua hari.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pihaknya sudah mengarahkan tindakan segera diambil untuk kerja-kerja mitigasi membendung dan membersihkan sisa kimia dilaksanakan serta-merta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk.

"Saya difahamkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah memulakan proses membendung dan mitigasi pada 8 malam, semalam.

"Pagi ini, kontraktor dilantik bagi memulakan proses pembersihan dan dijangka akan mengambil masa dua hari untuk diselesaikan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, Unit Bencana Negeri Selangor akan bekerjasama dengan LUAS, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut juga akan dilakukan bagi mengenalpasti pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa kimia ke kawasan kolam takungan berkenaan.

"Satu laporan polis juga dibuat LUAS bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab mencemar alam sekitar di kawasan Taman Eng Ann.

"Saya menasihatkan kepada semua penduduk di sekitar kawasan Taman Eng Ann untuk bertenang dan tidak panik dari kejadian ini. Agensi Kerajaan Negeri akan melaksanakan proses pembersihan secepat mungkin bagi keselesaan para penduduk," katanya.

Berita berkaitan

Sungai Klang pula tercemar

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 10:57am
d