mutakhir

'Ingatkan teh Cina, tetapi....'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BUNGKUS dalam plastik teh Cina kemudian diedar kepada penagih dadah warga tempatan sekitar Johor Bahru.

Itu kerja sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai baru beroperasi di Johor sebulan lalu.

Namun taktik itu berjaya dihidu polis sebelum mereka ditumpaskan dalam empat serbuan berasingan di beberapa kediaman sekitar Taman Mount Austin di sini kelmarin.

Dalam serbuan 11 pagi hingga 3 petang itu, tujuh ahli sindiket termasuk seorang warga Indonesia ditahan dengan pelbagai jenis dadah dirampas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan hasil maklumat awam yang diterima.

“Dengan kerjasama JSJN Bukit Aman, kita menahan tujuh individu ini yang terdiri daripada empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang lelaki Indonesia.

“Kita percaya mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun ini ada dalang atau ketua sindiketnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan terbabit, pihaknya merampas 15.15 kilogram dadah dipercayai syabu; 380 gram (kokain) dan 50.3 gram (ekstasi).

Katanya, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM850,000 sekali gus menjadikan ia rampasan dadah kedua terbesar di Johor tahun ini dan rampasan syabu terbesar di negeri itu setakat ini.

“Kita turut menyita empat kenderaan iaitu Mercedes Benz, Toyota Vellfire, Honda Civic dan Proton Waja selain pelbagai jenis barang kemas dan jam tangan mewah dengan pelbagai mata wang tunai.

“Semua nilai barang sitaan ini dianggarkan RM429,600,” katanya.

Lukas berkata, hasil siasatan awal, dadah terbabit dibawa masuk dari negara jiran dan jika ia terlepas untuk dijual, boleh menampung lebih 17,200 penagih dadah.

Menurut Lukas, semua suspek kini direman antara tiga hingga enam hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 12:15pm
d