mutakhir

133 anggota HAZMAT di Pasir Gudang

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menugaskan seramai 133 anggota pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bagi menangani sisa bahan kimia di Pasir Gudang, Johor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pasukan berkenaan bertugas di lokasi sejak 7 Mac yang lalu dan berperanan sebagai pemantau serta penasihat jawatankuasa bencana negeri.

“Kita menghantar pasukan HAZMAT dari beberapa negeri berdekatan ke Pasir Gudang termasuk Kuala Lumpur, Melaka dan Perak ditugaskan untuk memantau keadaan udara yang diketuai Pengarah JBPM Johor (Datuk Yahaya Madis),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood.

Seramai 100 anggota termasuk pegawai JBPM Kelantan menerima pingat dan APC.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, bahan kimia di kawasan berkenaan dikawal dengan sebaik mungkin yang turut membabitkan pelbagai agensi.

Katanya, pasukan HAZMAT juga turut ditugaskan untuk berada di pos kawalan operasi bencana.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sebanyak 16 pusat gerakan operasi bomba yang sentiasa bersiap siaga untuk membendung kebakaran hutan pada musim panas ini.

Katanya, persiapan anggota bomba ini dari segi logistik, kelengkapan dan langkah yang perlu diambil jika berlaku kebakaran hutan bagi mengelakkan jerebu.

“Beberapa negeri yang menerima laporan kebakaran hutan dan tanah gambut termasuk Lembah Klang, Perak, Melaka, Kedah, Pahang, Kelantan dan Utara Johor.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada masa ini kerana boleh menyebabkan suatu bencana dan kemudaratan,” katanya

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 3:34pm
d