mutakhir

Penduduk, jangan panik...

Oleh Iskandar Shah Mohamed dan Siraj Zaini

PENDUDUK di sekitar Taman Eng Ann di Klang, diminta supaya bertenang dan tidak panik dengan kejadian pembuangan sisa minyak di kolam takungan di kawasan itu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya menerusi pelbagai agensi sedang berusaha membendung dan membersihkan sisa kimia itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya sudah mengarahkan tindakan segera bagi kerja mitigasi membendung dan membersihkan sisa kimia dilaksanakan serta merta.

“Difahamkan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah memulakan proses membendung dan mitigasi pada 8 malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kontraktor sudah dilantik pada pagi ini bagi memulakan proses pembersihan dan dijangka akan mengambil masa dua hari untuk diselesaikan.

Katanya, beliau juga sudah meminta Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor memantau keadaan semasa serta bekerjasama dengan LUAS, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor untuk menyelesaikan kes itu.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenalpasti pihak yang tidak bertanggungjawab yang membuang sisa kimia ke kawasan kolam takungan ini.

“Satu laporan polis sudah dibuat oleh pihak LUAS bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab mencemar alam sekitar di kawasan Taman Eng Ann,” katanya.

Amirudin berkata, agensi kerajaan negeri akan melaksanakan proses pembersihan secepat mungkin bagi keselesaan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Berita berkaitan

21 bahan kimia dikesan

Dua hari bersihkan Sungai Klang

Sungai Klang pula tercemar

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 3:40pm
d