mutakhir

Bukan balak haram la...

Oleh Amran Yahya

KERAJAAN negeri menafikan berlaku aktiviti pembalakan haram di Hutan Simpan Gunung Tampin seperti dakwaan penduduk berikutan penebangan pokok di kawasan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penebangan itu bagi projek pembinaan jajaran talian penghantaran elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang 7.64 kilometer membabitkan kawasan seluas 51.79 hektar.

“Ia lebih kepada kerja pembersihan kawasan di sepanjang jajaran penghantaran elektrik di mana terdapat pokok yang perlu ditebang dan dikeluarkan sebagai hasil kepada negeri.

“Dakwaan yang mengatakan projek itu akan mendatangkan kesan buruk kepada hutan termasuk kawasan pelancongan di sekitar Tampin adalah tidak berasas sama sekali.

“Ini kerana projek itu diluluskan dalam laporan kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan melalui beberapa siri konsultasi serta penerangan dengan pihak berkepentingan seperti wakil komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengundian perumahan mampu milik jenis A di Taman Zamrud, Batu Kikir di Jempol, hari ini.

Aminuddin berkata, kerja pengeluaran kayu balak di kawasan itu juga dipantau secara rapi melalui Jawatankuasa Pemantauan Prestasi Alam Sekitar (EPMC) bagi memastikan mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Menurutnya, projek itu bertujuan menyambung bekalan elektrik yang dijana oleh Stesen Janakuasa Alor Gajah ke Grid Nasional melalui Pencawang Masuk Utama Bahau Selatan.

“Jajaran asal adalah merentasi tengah Hutan Simpan Gunung Tampin tetapi dikhuatiri memberi impak negatif kepada alam sekitar kerana melalui pemotongan bukit serta kawasan tadahan air.

“Berikutan itu, jajaran diubah dengan melalui bahagian tepi sempadan hutan berkenaan.

“Perubahan itu untuk mengelak kawasan hutan simpan terbahagi dua selain mengambil kira kawasan yang mempunyai kepentingan eko-pelancongan, kolam mandi, hentian rehat dan perkampungan orang asli,” katanya.

Kelmarin, sekumpulan penduduk membantah kerja pembalakan di Hutan Simpan Gunung Tampin kerana mendakwa akan memberi kesan kepada penduduk kerana ia kawasan tadahan air selain menjejaskan ekosistem, flora dan fauna.

Satu laporan polis turut dibuat oleh wakil penduduk di Balai Polis Tampin pada 9.30 pagi.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 4:30pm
d