mutakhir

Wanita warga emas maut disamun

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

WARGA emas ditemui maut di rumahnya di Taman Berjaya, Sungai Pelek, Sepang, hari ini dengan beberapa kecederaan di bahagian muka dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, mangsa Chin Nook Moi, 87, dipercayai disamun berikutan terdapat kesan tingkap bilik belakang yang dipecahkan.

Menurutnya, kejadian berkenaan disedari oleh jiran mangsa yang ingin mengetahui sama ada wanita itu mahu membeli makanan atau sebaliknya jam 8.30 pagi hari ini.

“Jirannya memanggil mangsa namun panggilannya tidak bersahut. Jiran terbabit yang mempunyai kunci pendua terus membuka pintu rumah dan menemukan mangsa tidak bernyawa dalam keadaan terlentang di bilik utama.

“Selepas menemukan mangsa, dia terus menghubungi pihak polis dan cucu mangsa yang menetap di Kajang bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Md Noor Aehwan berkata, berdasarkan siasatan awal, wanita terbabit dipercayai disamun antara jam 11.30 hingga 12.30 tengah malam tadi dan mangsa cedera di bahagian muka selain lebam di beberapa anggota badan.

“Unit forensik masih menjalankan siasatan, kita tunggu hasil bedah siasat esok. Setakat ini kes akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

“Kes tidak disiasat di bawah 302 kerana kita masih menunggu hasil bedah siasat,” katanya.

Dalam pada itu, cucu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yew berkata, dia melawat neneknya yang tinggal seorang diri sebulan sekali untuk menyerahkan wang belanja.

“Nenek ada dua orang anak, seorang tinggal di Sabah dan seorang lagi di Singapura. Kali terakhir saya datang melawatnya minggu lalu untuk menyerahkan wang belanja,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 4:38pm
d