mutakhir

[UPDATE] CBRN ATM belum mula nyah cemar

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PASUKAN Tinjau ‘Chemical Biological, Radiological and Nuclear (CBRN)’ serta Pasukan Nyah Cemar CBRN Angkatan Tentera Malaysia (ATM) belum memulakan proses menyah cemar sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

Pasukan itu yang membantu Unit Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) kini dalam proses tinjauan, mengenal pasti, menanda, mengambil sampel dan laporan sebelum arahan seterusnya diterima.

Komander Jurutera Medan Barat ATM, Brigadier Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa berkata, pasukan itu akan membantu dari segi kepakaran mereka membuat tinjauan, identifikasi serta membuat tandaan tempat yang dikenal pasti.

“Sekarang ini kita sedang membantu HAZMAT daripada bomba untuk membuat tinjauan di lokasi terkesan.

“Semalam, kita membuat tinjauan, identifikasi serta membuat tandaan tempat yang ditetapkan itu dan hari ini kita menunggu arahan selanjutnya untuk melakukan kerja pembersihan yang akan dijalankan kontraktor dilantik kerajaan negeri,” katanya.

Beliau ditemui selepas memberi taklimat kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong yang melawat Pusat Saringan Awal Pencemaran Sungai Kim Kim di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Menurut Abdul Hamid, tujuh pegawai dan 33 anggota lain-lain pangkat diaturgerak untuk menghulurkan bantuan dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, Chin Tong berkata, pihaknya hadir membuat lawatan bagi melihat dan memahami apa jenis bantuan lain yang boleh disalurkan kementerian.

“Saya berterima kasih atas semua usaha yang diberikan agensi terbabit dalam insiden ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 5:34pm
    d