mutakhir

Sungai Raja Hitam tercemar teruk di Perak

Oleh Shaarani Ismail

HANYA satu sungai di Perak iaitu Sungai Raja Hitam dekat Ayer Tawar, Manjung diklasifikasikan tercemar teruk dan berada pada kelas empat yang sumber airnya hanya boleh digunakan untuk tujuan pengairan saja berikutan dicemari bahan daripada aktiviti pertanian industri pemerosesan sawit.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Noor Azizi Adinan berkata, bagaimanapun bacaan yang menunjukkan indeks kualiti air pada tahap empat hanya membabitkan satu daripada tiga stesen yang terdapat di sungai berkenaan.

“Bacaan pada dua lagi stesen menunjukkan indeks kualiti air berada pada kelas tiga manakala stesen yang menunjukkan bacaan indeks kelas empat adalah stesen pertama yang terletak di hulu sungai dan kedudukan sangat hampir dengan sebuah kilang pemerosesan sawit.

“Dengan keadaan cuaca semasa yang kering ketika ini, ia menyebabkan kepekatan air semakin tinggi mengakibatkan bacaan juga tinggi, bagaimanapun JAS optimis bacaan indeks kualiti air dijangka menurun dan sungai berkenaan akan meningkat ke kelas tiga selepas kualiti airnya semakin baik,” katanya ditemui hari ini.

Noor Azizi berkata, kilang yang dipercayai terbabit sebagai pencetus pencemaran di kawasan berhampiran sungai berkenaan juga sudah didakwa dan disabitkan dengan kesalahan Februari lalu serta didenda malah tindakan susulan juga sudah dilakukan JAS bagi memastikan kilang berkenaan mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan jabatan itu.

Katanya, dalam pada itu, terdapat 150 stesen pengawasan JAS ditempatkan di lapan lembangan sungai di seluruh Perak bagi memantau dan memelihara kualiti air sungai membabitkan Sungai Perak, Beruas, Kurau, Raja Hitam, Wangi, Sepetang dan Kerian.

Beliau berkata, selain itu JAS turut menempatkan dua stesen pengawasan automatik iaitu masing-masing satu di Sungai Perak dekat Parit dan satu lagi di Sungai Bogak dekat Parit Buntar.

Noor Azizi berkata, sepanjang tahun lalu JAS Perak sudah mengeluarkan 188 notis arahan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang memerlukan pesalah memberikan maklum balas atas kesalahan yang dilakukan selain mengeluarkan 113 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar.

Katanya, selain itu, 22 kes dikenakan tindakan mahkamah membabitkan pelbagai kesalahan khususnya kesalahan pencemaran air dari kilang yang membabitkan efluen perindustrian dengan jumlah denda keseluruhan dikenakan RM98,000.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 6:17pm
d