mutakhir

JAS siasat 29 pusat hemodialisis

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan siasat semua 29 pusat hemodialisis, susulan penemuan bahan buangan klinikal di tempat pelupusan sampah haram di Kampung FELDA Sendayan pada minggu lalu.

Pengarah JAS negeri Norhazni Mat Sari berkata, setakat ini hanya sebuah pusat hemodialisis di Seremban 2 yang disyaki melakukan kesalahan itu tetapi pihaknya masih mengenal pasti premis lain yang terbabit.

“Kita akan kumpul semua maklumat dan kemudian baru boleh buat kesimpulan.

“Saya berharap insiden seperti itu tidak berulang dan menasihati pihak pengurusan hospital atau klinik supaya membuang bahan buangan klinikal di tempat pelupusan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norhazni berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 34 (B) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pada 8 Mac lalu dilaporkan bahan buangan klinikal seperti tiub darah dan alat penapis atau dializer ditemui dipercayai dibuang di tempat pelupusan sampah haram di Kampung FELDA Sendayan.

Tapak pelupusan itu ditemui sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan yang menjalankan siasatan selepas menerima aduan pada 5 Mac lalu.

Hasil pemeriksaan yang menemui 11 bungkusan buangan klinikal disyaki daripada aktiviti dialisis dibuang di tempat pelupusan berkenaan yang disyaki dilakukan oleh pihak kontraktor dilantik.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 6:44pm
d