mutakhir

[UPDATE] Polis buru suspek buang sisa minyak

Oleh Iskandar Shah Mohamed

POLIS dalam usaha mengesan suspek menggunakan lori tangki yang disyaki terbabit dalam kejadian pembuangan sisa industri di kolam tadahan banjir di Taman Eng Ann, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek menggunakan lori jenis Hino yang beralamat di Pulau Pinang.

“Berdasarkan keterangan saksi, lori tangki berkenaan memasuki kawasan itu kira-kira 1.30 petang semalam.

“Ia dipercayai kejadian kedua selepas kali pertama berlaku bulan lalu dan usaha mengesan suspek masih sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Nurulhuda berkata, kerja pembersihan di lokasi itu dijalankan kontraktor dilantik Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan masih dijalankan secara berterusan.

Menurutnya, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 277 Kanun Keseksaan iaitu mengotorkan sesuatu kolam awam atau mata air.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkannya di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Harian Metro melaporkan Taman Eng Ann itu dikesan tercemar dengan bahan kimia yang masih belum dikenal pasti dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

LUAS mengesan bahan pencemar itu memasuki aliran air di kawasan berkenaan selepas menerima aduan orang awam 6 petang semalam dan sampel bahan kimia itu kemudian dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi menentukan jenisnya.

Bagaimanapun, keadaan di kawasan itu terkawal dan usaha pembersihan sedang giat dilaksanakan selama 24 jam oleh pelbagai agensi.

Berita berkaitan

Penduduk, jangan panik...

21 bahan kimia dikesan

Dua hari bersihkan Sungai Klang

Sungai Klang pula tercemar

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 10:12pm
d