mutakhir

480 mangsa baharu dirawat

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 480 mangsa baharu pencemaran Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, dirujuk ke Pusat Saringan Awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), semalam.

Maklumat terbaru itu menjadikan seramai 4,035 individu sudah dirujuk untuk mendapatkan rawatan awal sejak kes pencemaran itu dilaporkan, 7 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, daripada 480 yang dirujuk sehingga jam 3 petang itu, hanya 20 orang sahaja yang dirujuk ke hospital.

“Sehingga jam 3 petang tadi (semalam), seramai 480 mangsa mendapatkan rawatan saringan awal di Stadium Tertutup MPPG.

“Daripada jumlah itu, hanya 20 mangsa dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, MPPG, Pasir Gudang, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, seramai 73 pesakit yang sebelum ini dirawat di hospital sudah dibenarkan pulang.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya berita tidak sahih dan menegaskan perbuatan menyebarkan berita palsu menjadi kesalahan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Katanya, kepada mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat berhubung insiden pencemaran itu boleh menghubungi talian hotline 07-2522143 atau 07-2532143.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 12:55am
    d