mutakhir

Masih laut kita

Oleh Mohd Roji Kawi

SANTUBONG: Bot pancing bernombor pendaftaran QKH9393Z disahkan masih berada dalam perairan negara ketika ditahan kapal peronda Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).

Penolong Pengarah Kanan Unit CARILAMAT dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Leftenan Komander Musli Jaffar berkata, ketika kejadian bot berkenaan berada di kedudukan 53.2 batu nautika dari Tanjung Datu, Sematan.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa negara jiran menganggap lokasi berkenaan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia.

Beliau berkata, selepas kedudukan disahkan masih berada dalam perairan Malaysia, pihaknya menerusi ibu pejabat APMM di Putrajaya berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia dan mengadakan rundingan pembebasan bot bersama 11 pemancing dan tiga kru yang ditahan.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama pihak berkuasa maritim kedua-dua negara, akhirnya isu ini diselesaikan dengan baik dalam tempoh singkat.

“Semua pemancing dan kru bot dilayan dengan baik sepanjang ditahan di jeti Pangkalan TNI-AL, Pulau Batang di Natuna,” katanya ketika sidang media di jeti Kelab Bot Santubong, semalam.

Musli berkata, selepas dibebaskan petang semalam, bot pancing menempuh perjalanan selama 23 jam sebelum tiba di Santubong.

Sementara itu, beliau berkata, sebuah lagi bot berdaftar di Sarawak ditahan di lokasi hampir sama pada Selasa lalu, masih berada di negara jiran.

“Bagaimanapun, semua kru bot bubu adalah warga Indonesia dan ketika ditahan pihak berkuasa Indonesia, mereka memasang bubu di perairan Tanjung Datu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bot nelayan dan pancing supaya mengelak berada berdekatan sempadan perairan antarabangsa bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Penahanan dua bot dari Sarawak dalam tempoh selang sehari di perairan itu adalah yang pertama berlaku tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 7:00am
d