mutakhir

Bila lah hang nak insaf?

Oleh Shamsul Munir Safini

WALAUPUN bertongkat, ia tidak menghalang seorang lelaki untuk menagih dadah di rumah rakannya di Tasek Gelugor, semalam.

Lelaki berkenaan yang juga orang kurang upaya (OKU) itu antara 19 penagih berusia 17 hingga 45 tahun yang ditahan polis dalam beberapa operasi berasingan di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat berhubung aktiviti penagihan dadah di kawasan itu.

“Ketika operasi kita menahan seorang OKU. Lelaki itu sanggup bersusah payah berjalan sambil bertongkat ke rumah rakannya demi melepaskan gian sebelum diberkas.

“Polis turut menemui heroin dengan anggaran berat 2.4 gram (g), syabu 1.1 g dan air ketum sebanyak 250 g,” katanya.

Beliau berkata, Kesemua tangkapan dan barang kes yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

Noorzainy berkata, hasil siasatan mendapati dadah itu adalah untuk kegunaan sendiri dan nilai rampasan dianggarkan RM 270.

Katanya, hasil saringan air kencing kesemua suspek juga positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 12:54pm
d