mutakhir

23 rakyat kita ditahan di Syria akan dibawa balik

Oleh BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses membawa pulang 23 daripada 51 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria, dipercayai terbabit dalam aktiviti keganasan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, 11 orang terdiri daripada golongan dewasa dan 12 kanak-kanak.

“Kesemua mereka (tahanan) berhubung dengan keluarga masing-masing dan keluarga mereka menghubungi PDRM untuk bantu proses membawa pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi ceramah pada majlis Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ayob Khan berkata, tahanan lelaki yang dibawa pulang akan terus disoal siasat, manakala wanita dan kanak-kanak pula akan disoal siasat secara berperingkat serta diberi khidmat kaunseling.

“Apa yang pasti, mereka yang balik, kalau lelaki, kami akan tangkap dan jalankan soal siasat. Bagi wanita dan kanak-kanak kami akan meneliti kes mereka kerana ada dalam kalangan wanita ini mungkin terpaksa ikut suami mereka ke Syria.

“Dalam proses menyoal siasat mereka, kami akan libatkan pakar kaunseling, pakar psikologi serta ustaz untuk memberi khidmat kaunseling, nasihat dan menilai mereka (wanita dan kanak-kanak) agar tidak lagi terbabit aktiviti keganasan,” katanya.

Ayob Khan berkata khidmat kaunseling akan diberikan sehingga mereka benar-benar bebas daripada segala fahaman terpesong dan kemudian akan dibebaskan dengan pemantauan polis.

Beliau berkata proses membawa pulang kesemua mereka yang berkenaan belum dapat dimuktamadkan kerana ia membabitkan perbincangan dengan pelbagai pihak.

“Perkara ini membabitkan perbincangan kami dengan banyak pihak di Syria, sebab ada yang ditahan di kem Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), ada yang ditahan oleh pihak Syria sendiri.

“Kami hendak mengesan di mana mereka berada sama ada di bawah kem PBB (Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu) atau Al-Qaeda atau di mana-mana. Kemudian, barulah kami boleh membimbing dan mengatur untuk bawa mereka kembali ke Malaysia dan ia memakan masa lama,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 1:43pm
d