mutakhir

Segera hantar keluarga mangsa ke NZ - Saifuddin [METROTV]

Oleh Abdul Razak Raaff

KERAJAAN akan segera menghantar keluarga terdekat kepada tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, semalam.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Wisma Putra sedang berurusan ahli keluarga terdekat mangsa sebelum membawa mereka ke negara itu.

Beliau berkata, tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu ialah Rahimi Ahmad,39, dari Pulau Pinang dan mempunyai dua anak; Mohd Nazril Hisham Omar, 46 dari Kelantan serta dan Mohd Tarmizi Shuib, 46, dari Kedah yang masing-masing mempunyai empat anak.

Katanya, mangsa yang bekerja di Christchurch, bandar terbesar di Pulau Selatan New Zealand kini menjalani rawatan dan ada yang sudah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru di badan.

“Kita sudah menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo pagi tadi, yang memaklumkan keadaan ketiga-tiga mereka adalah stabil.

“Terdapat dua lagi rakyat Malaysia iaitu dua anak Mohd Tarmizi, Mohd Haziq (17 tahun) setakat ini masih belum ditemui selepas melarikan diri ketika kejadian berkenaan manakala Mohd Haris,12 (tahun) dirawat di sebuah hospital kanak-kanak kerana trauma.

“Fokus Wisma Putra ketika ini ialah memastikan mangsa mendapat rawatan terbaik, membawa ahli keluarga terdekat mangsa untuk memberi semangat kepada mangsa serta menguruskan pelbagai urusan berkaitan termasuk kos perubatan dan urusan membawa mereka balik ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-20 Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama, di Kuantan, hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kuantan mengulas mengenai serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand tengah hari semalam.

Pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), seorang lelaki melepaskan tembakan rambang di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, yang mengorbankan 49 nyawa dan lebih 20 orang cedera.

Rakyat Australia, Brenton Tarrant, 28 dituduh membunuh 49 orang di mahkamah di negara itu, hari ini.

Dia ditahan bersama dua suspek lain dan beberapa bahan letupan turut digunakan dalam apa yang disifatkan sebagai serangan terancang pengganas.

Saifuddin juga berkata seorang pegawai kanan Wisma Putra sudah berlepas ke Christchurch, manakala dua pegawai dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, termasuk seorang atase tentera sudah berada di sana bagi membantu rakyat Malaysia.

Beliau berkata, Wisma Putra juga akan menghubungi Timbalan Perdana Menteri New Zealand yang juga Menteri Luar, Winston Peters bagi menyampaikan simpati kerajaan Malaysia kepada kerajaan New Zealand dan rakyatnya yang terkorban dalam tragedi berdarah itu

“Buat masa ini, belum ada keperluan untuk kerajaan mengeluarkan amaran perjalanan ke New Zealand… sebab itu kita hantar atase tentera ke Christchurch bagi melihat situasi terkini,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 2:49pm
d