mutakhir

Kerja bersih kolam tercemar siap hari ini

Oleh Norzamira Che Noh

KERJA pembersihan kolam takungan banjir di Taman Eng Ann, Klang yang tercemar dengan sisa minyak sejak kelmarin dijangka selesai hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sehingga 10 pagi tadi, semua longkang ke arah Sungai Klang sudah dibersihkan bagi memastikan tiada bahan tercemar mengalir ke sungai.

“Selain itu, kita sudah mula menyedut bahan tercemar dalam kolam berkenaan ke dalam lori yang sudah bersedia sejak awal pagi.

“Kita berharap ia dapat segera dipulihkan segera walaupun pembersihan dijangka mengambil masa dua hari. Saya berasakan ia boleh diselesaikan hari ini jika semuanya berjalan lancar,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Melestari Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, tindakan cekap Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan agensi berkaitan juga dapat mengelak bahaya lebih besar seperti pengaliran sisa itu ke sungai yang sekali gus akan memberi kesan kepada bekalan air di negeri ini.

Kata Amirudin, pihak berkuasa juga sedang mengenalpasti pelaku yang membuat onar itu.

“Kita masih tidak pasti pelaku yang membuang sisa minyak itu namun akan mengesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lampu isyarat berdekatan.

“Walaupun belum dikesan, kita sudah mempunyai sampel dan bukti yang cukup untuk mendakwa mereka.

“Apa yang penting kini adalah membersihkan kolam takungan itu dan tindakan susulan akan dilakukan kemudian,” katanya.

Harian Metro melaporkan Taman Eng Ann itu dikesan tercemar dengan bahan kimia yang masih belum dikenal pasti dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

LUAS mengesan bahan pencemar itu memasuki aliran air di kawasan berkenaan selepas menerima aduan orang awam 6 petang kelmarin dan sampel bahan kimia itu kemudian dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi menentukan jenisnya.

Keadaan di kawasan itu bagaimanapun terkawal dan usaha pembersihan sedang giat dilaksanakan selama 24 jam oleh pelbagai agensi.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis buru suspek buang sisa minyak

Penduduk, jangan panik...

21 bahan kimia dikesan

Dua hari bersihkan Sungai Klang

Sungai Klang pula tercemar

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 3:32pm
d