mutakhir

Ugut bunuh ibu kerana motosikal

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

HANYA kerana si ibu tidak mencuci motosikal miliknya, seorang anak mengugut mahu membunuh wanita itu di Kampung Alor Tempoyak, Batu 50, Dungun, kelmarin.

Selain mengugut mangsa yang berusia 67 tahun, lelaki itu turut mengugut mahu membunuh ahli keluarganya yang lain dalam kejadian 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek sebelum itu meminta mangsa membasuh motosikalnya namun tidak diendahkan wanita terbabit menyebabkan suspek naik angin.

Beliau berkata, suspek yang memegang sebilah parang mengacukan senjata itu ke arah mangsa dan ahli keluarga lain termasuk dua adiknya sambil mengugut mahu membunuh mereka.

“Selain itu, suspek turut merosakkan almari di dalam rumah dengan kerugian dianggarkan RM1,000 sebelum beredar meninggalkan rumah dengan menunggang motosikal.

“Susulan kejadian itu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Dungun,” katanya hari ini.

Baharudin berkata, mangsa memaklumkan suspek yang juga penagih kerap mengamuk dan merosakkan barangan di dalam rumah sebelum ini.

Katanya, suspek berusia 38 tahun berjaya ditahan di rumahnya 9.40 malam hari sama.

“Suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 3:37pm
d