mutakhir

[UPDATE] Jurukamera Media Prima Bhd sesak nafas

Oleh Ibrahim Isa

JURUKAMERA sambilan Media Prima Bhd, Ismail Osman, 55, terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru selepas mengalami sesak nafas sebaik pulang dari membuat liputan pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang hari ini.

Ismail yang bekerja sebagai jurukamera sambilan sejak dua tahun lalu, tiba di HSI 2 petang tadi dan diberi bantuan oksigen selepas mengadu sesak nafas.

Ismail berkata, dia batuk dan sesak nafas sejak malam tadi namun beranggapan ia tidak serius dan bertugas seperti biasa hari ini.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru, saya rasa sesak nafas dan batuk berterusan menyebabkan saya ke HSI untuk mendapatkan rawatan.

“Pasukan perubatan memberikan perkhidmatan terbaik selain diberikan oksigen, mereka mengambil contoh darah dan masukkan air ke dalam badan sehingga jam 6.30 petang tadi,” katanya.

Menurutnya, dia membuat liputan di kawasan berkenaan sejak minggu lalu dan percaya ia ada kaitan dengan Simptom Kim Kim berdasarkan perit tekak, sesak nafas dan batuk.

Semalam, akhbar ini melaporkan wartawan Harian Metro, Mary Victoria Dass terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar selepas hidungnya berdarah, sakit tekak, loya dan pening kepala ketika membuat liputan di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Mary petugas media ketiga yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar akibat ‘Simptom Kim Kim’ selepas wartawan Astro Awani, Ernalisa Othman, yang alami loya, pening dan muntah Rabu lalu.

Pada hari sama, Ketua Biro TV3 Johor, Zahir Senapiah turut menjadi mangsa ‘Simptom Kim Kim’, apabila muntah-muntah ketika berehat di rumah selepas pulang dari membuat liputan di sekitar Pasir Gudang.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 7:04pm
    d