mutakhir

Pokok rambai hempap dapur rumah

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

DUA beranak menempuh detik menakutkan apabila pokok rambai menghempap dapur rumah mereka di Parit 16, Sungai Panjang, Sungai Besar hari ini.

Dalam kejadian 10.20 pagi itu, mangsa, Norizah Othman, 47, dan anak lelakinya, Mohd Haziq Saharuddin, 7, sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

Ketika kejadian, suaminya, Saharuddin Bahrom, 47, tiada di rumah kerana menguruskan kedai runcit milik mereka di Parit 13.

Saharuddin berkata, dia bergegas pulang selepas dihubungi isterinya yang memaklumkan kejadian itu.

“Ketika di kedai, saya menerima panggilan daripada isteri yang memberitahu terdengar bunyi dentuman kuat di dapur.

“Dia kemudian terkejut mendapati pokok rambai menghempap dapur rumah kami,” katanya.

Dia bersyukur kerana kedua-duanya tidak mengalami kecederaan walaupun terpaksa menanggung kerugian hampir RM4,500.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, Kamisan Marimin berkata, sepasukan tujuh anggota dan jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan 10.27 pagi.

“Setibanya di lokasi, kita bertindak memotong pokok itu dengan menggunakan dua gergaji dan mengalihkannya ke lokasi lain.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi berkenaan ditamatkan 12.44 tengah hari,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 8:26pm
d