mutakhir

40,916 rumah kediaman tak terjual

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

DATA Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan 40,916 unit kediaman pelbagai jenis di negara ini membabitkan nilai RM27.39 bilion tidak terjual dalam tempoh lapan tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, masalah pemasaran rumah selain kelayakan individu untuk membuat permohonan pinjaman menyebabkan kediaman itu gagal dijual.

Beliau berkata, jumlah nilaian hartanah itu termasuk rumah yang sudah disiapkan dan projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.

“Ramai terutamanya generasi muda berminat untuk membeli aset kediaman, namun gagal memenuhi kelayakan untuk membuat pinjaman bank menyebabkan rumah tidak terjual.

“Selain itu faktor lokasi dan kemudahan asas disediakan di kawasan perumahan baru yang dibangunkan juga memainkan peranan dalam memastikan rumah berkenaan dapat dijual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Home Ownership Campaign (HOC) peringkat negeri di Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Terengganu, Mohamad Hishamudin Muda.

Raja Kamarul Bahrin berkata, atas dasar itu kementeriannya berharap sektor perbankan dapat memberi kelonggaran dalam kelayakan membeli rumah termasuk kadar gabungan pendapatan suami isteri serta tempoh pinjaman lebih panjang supaya lebih ramai khususnya golongan muda dapat memiliki kediaman.

Beliau berkata, kementeriannya kini juga sedang mengkaji dan menilai projek terbengkalai di seluruh negara terutama membabitkan kediaman dan perumahan.

“Kita sedang lihat projek terbengkalai di seluruh negara dan kita sudah melantik ejen bertauliah untuk mengkaji pemasaran dan struktur penjualan rumah di bawah projek ini untuk kita cari penyelesaiannya,” katanya.

HOC-Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur sebelum ini diadakan di dua lokasi di Terengganu iaitu di Paya Bunga Square bermula hari ini dan esok dan di Mesra Mall, Kemaman pada 29 hingga 31 Mac ini.

Sebanyak 16 pemaju hartanah menawarkan lebih 1,700 unit kediaman bagi kedua-dua ekspo itu dengan anggaran nilai jualan kasar RM 650 juta.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 8:38pm
d