mutakhir

Racun Sungai Kim Kim: 143 masih dirawat

Oleh BERNAMA

SERAMAI 143 orang yang terjejas akibat pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang masih menerima rawatan di wad hospital, setakat tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, kesemua mereka termasuk 36 orang yang dirujuk di hospital luar daerah ini dan 29 orang di hospital luar negeri Johor.

“Setakat 12 malam tadi, tujuh pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan stabil.

“Jumlah pesakit yang dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai pula adalah seramai 108 orang,” katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Dr Sahruddin, dalam pada itu berkata, seluas 1.3 kilometer (km) daripada 1.5 km kawasan tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan setakat 4 petang semalam.

Beliau berkata, kerja pembersihan berjalan lancar setakat ini dengan kerja dilakukan tanpa henti sejak dimulakan Rabu lepas.

“Baki 200 meter lagi akan diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya satu hingga dua hari akan datang,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 550 metrik tan tanah dan enap cemar serta 700 metrik tan air tercemar sudah dikumpulkan setakat 4 petang semalam.

Katanya, orang ramai terus dinasihati supaya tidak menghampiri kawasan kejadian selain dalam masa sama mengambil langkah pencegahan dengan mengurangkan aktiviti luar.

Sehingga kini, institusi pendidikan di Pasir Gudang masih lagi tidak beroperasi dan hanya akan memulakan sesi pembelajaran setelah diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa, katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 12:10pm
d