mutakhir

Pakatan suami isteri

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SUAMI isteri yang baru berjinak-jinak menjual dadah dan daun ketum di rumah ditahan polis dalam serbuan di Taman Serting Indah, Jempol semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat kedua-dua suspek berusia 35 dan 37 tahun dikatakan terbabit aktiviti itu sejak dua bulan lalu.

Katanya, intipan dilakukan sebelum sepasukan anggotanya menyerbu kediaman terbabit 1.05 tengahari.

“Pemeriksaan di ruang tamu rumah menemui 32 paket syabu seberat 59.6 gram (g) berserta 20 pil Eramin 5 yang dimasukkan dalam beg selempang.

“Pihak kami turut menemui 44 botol ubat batuk dan empat plastik mengandungi empat kilogram daun ketum di tepi meja makan,” katanya kepada Harian Metro.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, ketika serbuan dilakukan kedua-dua suspek dalam keadaan takut dan gelisah.

“Suspek memberitahu mereka baru terbabit kegiatan ini Januari lalu dengan memperoleh bekalan dari Kuala Lumpur dan Pahang.

“Isteri suspek berperanan mengambil pesanan pelanggan jika suaminya tiada di rumah,” katanya.

Beliau berkata, ujian air kencing ke atas suami isteri itu mendapati mereka negatif dadah.

“Semua rampasan bernilai RM10,000 bersama suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 12:35pm
d