mutakhir

Nyawa melayang ketika jamu selera

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

MEMILUKAN apabila seorang lelaki maut dilanggar motosikal ketika sedang menjamu selera di sebuah kedai makan di Batu 39, Sabak Bernam, malam kelmarin.

Dalam kejadian 8.50 malam itu, mangsa, Roslan Kawi, 52, dilanggar Modenas Kriss ditunggang remaja lelaki berusia 19 tahun yang terbabas selepas cuba mengelak motosikal lain di kawasan berkenaan.

Mangsa yang dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk menerima rawatan lanjut disahkan meninggal dunia pada 12.03 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati motosikal Kriss itu datang dari arah Kampung Batu 37 Darat menghala ke Pekan Sabak Bernam.

“Setibanya di lokasi, sebuah motosikal lain dipercayai keluar secara mengejut dari simpang berdekatan hingga menyebabkan penunggang Kriss itu gagal mengelak lalu terbabas ke kedai makan berkenaan.

“Motosikal itu kemudian melanggar mangsa yang sedang makan di premis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan penunggang Kriss patah pergelangan tangan kiri dan cedera di muka.

Katanya, Roslan kemudian dibawa ke HTAJ untuk tindakan lanjut, namun disahkan meninggal dunia semalam.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan teruk di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi keluarga mangsa bagaimanapun gagal kerana mereka enggan ditemubual dan masih bersedih dengan kejadian itu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah di Sabak Bernam, petang semalam.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 3:16pm
d