mutakhir

Usaha cari Haziq diteruskan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

USAHA mencari warga Malaysia, Haziq Mohd Tarmizi, 17, masih dijalankan pihak berkuasa bagi mengesan mangsa tembakan di masjid di Christchurch, New Zealand.

Haziq yang masih belum ditemui selepas kejadian pada Jumaat lalu itu didaftarkan sebagai ‘missing person (orang hilang) atas persetujuan keluarga.

Setiausaha Kedua Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Azhari Azmi berkata, kerja mencari masih dibuat sehingga kini dan difahamkan pihak berkuasa menemui satu mayat lagi pada hari ini.

Sehingga kini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia sudah menekankan kepada pihak hospital dan polis bahawa penting bagi mendapatkan maklumat mengenai Haziq dengan segera.

“Menerusi perbualan dengan isteri Mohd Tarmizi petang tadi, pihak polis hanya akan berurusan dengan keluarga sahaja dan akan berjumpa polis di satu lokasi bagi pengesahan nama.

“Justeru sebarang perkembangan terkini, polis akan berhubung dengan isteri beliau.

“Kami akan berterusan berhubung dengan pihak Kementerian Luar Negara New Zealand bagi memaklumkan sebarang perkembangan Haziq dengan segera,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Mohd Tarmizi Shuib, 42, dari Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah antara rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian tembakan di Masjid Al Noor, Christchurch, manakala anak keduanya, Haris, 13, berjaya menyelamatkan diri dengan berlari dan melompat pagar masjid bagi meminta bantuan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata beliau berpuas hati dengan kerjasama pelbagai pihak ni New Zealand termasuk pihak kerajaan dan Canterbury Malaysians Society Inc.

Ia berikutan keprihatinan pihak itu menjalankan peranan masing-masing dengan baik termasuk susun atur bantuan logistik dan tanggungjawab.

“Difahamkan pihak berkuasa akan memberi senarai dan maklumat semua mangsa pada hari ini.

“Kerana itu kami agak risau namun cuba berfikiran positif, ” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 4:34pm
    d