mutakhir

Sayu lihat gerai hangus depan mata [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“KETIKA tiba, saya lihat api menjulang tinggi dan membakar semua gerai dan saya hanya mampu melihat gerai musnah di depan mata,” kata pemilik gerai, Azizul Ahmad, 36.

Gerainya antara 16 gerai musnah dalam kebakaran di Medan Selera Bukit Angin, Temerloh pada 6 pagi hari ini.

Azizul berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakannya pada 6.30 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

“Apabila sampai saya melihat anggota bomba sedang memadamkan api, saya cuba menyelamatkan beberapa barangan namun dihalang anggota bomba.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan ketika ini kerana hanya gerai itulah sumber pendapatan saya selama ini,” katanya yang menjual nasi campur dan masakan barat.

Dia yang sudah berniaga di gerai berkenaan lebih 15 tahun lalu berkata, kerugian dianggarkan sekitar RM30,000.

Sementara itu, seorang lagi peniaga dikenali sebagai Khaidir, 31, berkata dia hanya sempat menyelamatkan kerusi pelanggan yang berada di hadapan gerainya sahaja.

“Barangan lain terutama barang elektrik dan perkakasan memasak tidak dapat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat.

“Walaupun sedih dengan kejadian ini, namun saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika itu peniaga masing-masing belum membuka gerai,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Hashnuddin Hussin berkata, kebakaran itu membabitkan 16 gerai iaitu lapan gerai terletak di bahagian hadapan manakala selebihnya di bahagian belakang.

Katanya, pihaknya dimaklumkan kejadian itu oleh orang awam yang datang ke balai pada 6.06 pagi sebelum tiga jentera membabitkan 30 pegawai dan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

“Apabila tiba, kami lihat api sedang marak di bumbung bahagian tengah barisan gerai berkenaan dan terpaksa memecahkan pintu setiap kedai untuk memadamkan api.

“Api dapat dikawal dalam masa kira-kira 10 minit sebelum dipadamkan sepenuhnya pada 7.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata, peratusan kebakaran adalah sebanyak 70 peratus dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 5:51pm
d