mutakhir

Kereta terbabas, tapi suspek dapat lari

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KERETA dinaiki dua lelaki masuk ke dalam longkang selepas terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika melarikan diri daripada dikejar polis dalam kejadian di Jalan Ecohill, Semenyih, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ketika Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang melakukan rondaan cegah jenayah, mereka menerima maklumat mengenai suspek curi kabel di Jalan Taman Maju 2, Rinching, Semenyih pada 4 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota MPV terserempak dengan kereta Toyota Vios yang memecut laju ke arah Semenyih. Apabila tiba di Taman Bandar Rinching Seksyen 2, kereta suspek merempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di tepi jalan.

“Kereta dinaiki suspek kemudian terbabas di Jalan Ecohill lalu melanggar pembahagi jalan dan masuk ke dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, dua suspek menaiki kereta itu melarikan diri ke semak berhampiran lokasi berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kereta itu menemui satu kunci, dua parang serta alat dipercayai digunakan bagi kegiatan pecah rumah.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek dan pemilik kenderaan terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 6 Akta Senjata Berbahaya kerana memiliki perkakas pecah rumah,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 6:02pm
d