mutakhir

'Tular kematian palsu tindakan tak berperikemanusiaan'

Oleh Ibrahim Isa

“JIKA benar ada kematian membabitkan keluarga, sertakan bukti dan nama keluarga bukannya sekadar tularkan berita kematian.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kami panik,” kata Norhayati Md Rasol, 36, ibu kepada Kamil Irfan Kamarizan, 12, salah seorang murid yang kesihatannya terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Rabu lalu.

Norhayati berkata, tindakan beberapa netizen sengaja mentularkan kenyataan tidak benar ketika lebih 10,000 penduduk sekitar Pasir Gudang gamat dengan pencemaran itu menambah panik keluarga terutama ibu bapa.

Ini berikutan ibu bapa sibuk mengambil anak pulang dari sekolah dan pada masa sama, tular mengatakan ada pelajar meninggal dunia akibat pencemaran berkenaan.

“Dalam kejadian Rabu lalu, saya menerima panggilan telefon pada 11 pagi dari guru sekolah meminta membawa pulang dua anak lelaki masing-masing berusia 10 dan 12 tahun kerana sekolah terpaksa ditutup berikutan keadaan tidak selamat.

“Saya yang bertugas di sekitar Pasir Gudang memandu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 2 dan apabila tiba, saya dapati ramai ibu bapa datang mengambil anak, berselisih dengan dua ambulans dan keadaan agak cemas di sekolah itu.

“Apabila melihat telefon bimbit, ada pula tular mengatakan seorang pelajar meninggal dunia akibat pencemaran menyebabkan saya bertambah panik.

“Ketika bertemu guru, saya dimaklumkan anak kedua berusia 10 tahun berada di bilik perubatan sekolah untuk mendapatkan rawatan manakala anak sulung, Kamil Irfan Kamarizan, 12, dibawa ambulans untuk ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih bagi mendapatkan rawatan awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan cemas dengan dia bagaikan lemah untuk memandu kereta, kenyataan berbentuk fitnah ditularkan di media sosial dan WhatsApp menambah tekanan serta panik ibu bapa terutama mereka yang masih belum bertemu anak masing-masing.

Katanya, dia lega apabila kedua-dua anaknya dibenarkan pulang, namun Kamil Irfan terpaksa dibawa ke hospital swasta pada 2 pagi Khamis lalu, selepas mengadu tidak boleh bernafas.

“Alhamdulillah, selepas Maghrib hari sama dia dibenarkan pulang dan kini, saya menghantar Kamil Irfan ke rumah neneknya di Kempas untuk berehat manakala lima adiknya berada di rumah bersama saya dan suami.

“Jika benar ada kematian membabitkan keluarga, mereka sepatutnya mendapatkan kepastian dengan keluarga mangsa, sertakan bukti dan nama mangsa, bukannya sengaja menulis sesuka hati hingga orang tertanya-tanya,” katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukan individu terbabit adalah perbuatan melampau dan saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas.

“Mereka tidak berperikemanusiaan, kasihanlah keluarga mangsa walaupun hanya dirawat di wad biasa, apabila kita melihat kanak-kanak mengerang kesakitan atau susah bernafas... ia pemandangan amat menyedihkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 6:10pm
    d