mutakhir

Ajal bersama dua sahabat

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUA sahabat lemas ketika mandi di Air Terjun Bukit Raja, Kampung Perak, Batu Kurau, Taiping, tengah hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Mohammad Furqan Mohamad Yahaya, 20, yang beralamat di Kampung Perak, Batu Kurau dan Mohd Zaid Aqwah Putra, 20, beralamat di Kampung Sungai Ara, Batu Kurau meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian 1.45 tengah hari mengatakan terdapat dua pemuda lemas.

“Siasatan awal mendapati empat pemuda berusia 20-an mandi di kawasan terbabit sebelum salah seorang daripadanya dipercayai hampir lemas.

“Keadaan itu menyebabkan seorang daripada rakannya cuba membantu tetapi kedua-duanya lemas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk kampung kemudian menjalankan operasi mencari mangsa sebelum mayat kedua-duanya dijumpai di sungai yang berkedalaman kira-kira empat meter.

“Ketika polis sampai di tempat kejadian 15 minit selepas menerima maklumat, kedua-dua mangsa sudah dijumpai dan dibawa ke tebing sungai.

“Tempat kejadian adalah lubuk sungai dan kawasan berbukit dan kedua-duanya ditemui di dalam lubuk sungai berkenaan,” katanya.

Osman berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Beliau berkata, bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 7:05pm
d