mutakhir

Rangka manusia dalam perut buaya

Oleh Mohd Roji Kawi

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu berakhir dengan penemuan cebisan tulang manusia dipercayai rangka lelaki itu di dalam perut buaya, hari ini.

Buaya berukuran hampir lima meter panjang yang sudah mati itu ditemui seorang pawang buaya yang turut serta dalam operasi SAR sejak seminggu lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pemeriksaan mendapati buaya berkenaan dipercayai mati selepas memakan umpan yang dipasang pawang berkenaan.

Menurutnya, berikutan penemuan bangkai buaya itu, keputusan diambil untuk membelah perut reptilia berkenaan bagi mencari mangsa yang dipercayai dibaham haiwan itu.

“Perut buaya itu kemudiannya dibelah oleh polis serta Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

“Pemeriksaan menemui beberapa cebisan tulang dan rangka manusia dalam perut buaya berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mangsa yang maut dibaham buaya itu dikenali sebagai Yosef Tesu, 20-an.

Lelaki itu dilaporkan hilang di sungai dekat Ladang Zumida Oil Palm Sdn Bhd, Bintangor, pada 10 Mac lalu.

Tiong berkata, operasi SAR sebelum ini dijalankan pasukan membabitkan JBPM, polis, JHS dan Polis Bantuan bersama pekerja Zumida Oil Palm Sdn Bhd.

Berikutan penemuan mayat mangsa itu, operasi SAR yang dilancarkan sejak 10 Mac lalu ditamatkan pada 4 petang hari ini.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 8:46pm
d