mutakhir

Ajal ketika bermain golf

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI warga emas meninggal dunia selepas rebah ketika bermain golf di kelab golf di Sungai Buloh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, anak lelaki mangsa berusia 28 tahun membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh berhubung kejadian itu 2.48 petang hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, anak mangsa menerima panggilan telefon daripada pengurusan kelab golf berkenaan pada 1.15 tengah hari.

“Lelaki itu dimaklumkan bapanya pengsan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Sebaik tiba di wad kecemasan hospital terbabit, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafa'aton berkata, hasil keterangan saksi yang juga ahli keluarga mangsa mengesahkan warga emas berkenaan menghidap penyakit jantung sejak 2014.

Katanya, mangsa juga pernah menjalani pembedahan jantung di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh dua tahun lalu.

“Selepas pembedahan itu, mangsa sering membuat rawatan susulan penyakit dialaminya di hospital berkenaan.

“Siasatan lanjut juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 9:51pm
d