mutakhir

Dah dapat sijil lahir

Oleh Mohd Hasbi Sidek

“Saya berterima kasih kepada Harian Metro kerana laporan mengenai kesusahan kami akhirnya mendapat perhatian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”

Begitu kata Roslee Ahmad, 44, individu yang menjaga Mohamad Sofian, 9, sejak kecil apabila berdepan kesukaran mendapatkan dokumen kanak-kanak lelaki terbabit, sebelum ini.

Difahamkan, Mohamad Sofian dilahirkan di Taman Segar di sini, oleh seorang wanita warga Indonesia namun ibunya menghilangkan diri selepas menyerahkan kanak-kanak itu kepada Roslee tanpa sebarang dokumen pada 2010.

Roslee berkata, dia bersyukur kerana selepas berita mengenai Mohamad Sofian keluar di portal atas talian Harian Metro, sekali gus mendapat perhatian JPN dan JKM.

“Sofian kini mendapat surat beranak dan menunggu mendapatkan kebenaran dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membolehkannya ke sekolah.

“Saya lega selepas mendapat surat beranak. Sekurang-kurangnya beban ditanggung berkurangan dan paling penting adalah untuk memastikan Sofian mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain seusianya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, pihak JPN memerlukan masa untuk mengeluarkan MyKid kepada Sopian namun dia difahamkan anak angkatnya itu akan mendapat status penduduk tetap (PR) kelak.

Harian Metro pada April tahun lalu melaporkan nasib Mohd Sopian yang ditinggalkan ibu kandungnya selepas dilahirkan.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 6:30am
d