mutakhir

Maut nak potong, tak lepas

Oleh Rosman Shamsudin

PENUNGGANG motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 120 Jalan Persekutuan Ipoh - Kuala Lumpur, di Behrang, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, R Chandran, 49, yang beralamat di Slim River, dekat sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah termasuk putus kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Mitsubishi Pajero, Perodua Bezza dan motosikal Honda C100.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Pajero dipandu lelaki pesara polis berusia 63 tahun dari arah Behrang ke Tanjung Malim, manakala Bezza dipandu lelaki anggota tentera berusia 29 tahun dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, anggota tentera berkenaan melihat penunggang motosikal yang berada di hadapan kanannya cuba memotong kereta lain, namun gagal lalu berlanggar dengan Pajero.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang berkenaan terpelanting ke hadapan kereta anggota tentera terbabit dan disebabkan jarak yang dekat, dia tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa sebelum terbabas ke kanan jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, selepas perlanggaran dengan motosikal itu, Pajero bergesel pula dengan Bezza dan berpusing di tempat kejadian.

“Pesara polis dan anggota tentera berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal disahkan maut di tempat kemalangan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 11:06am
d