mutakhir

Kantoi jual 'top-up' judi

Oleh Norasikin Daineh

DUA remaja perempuan ditahan selepas disyaki menjual tambah nilai kepada ‘tahi judi’ bagi kegiatan judi dalam talian tanpa lesen dalam Ops Dadu di Kota Marudu, kelmarin.

Dalam operasi 2.20 petang itu, dua remaja masing-masing berusia 18 tahun dipercayai bekerja sebagai penjaga premis berkenaan.

Difahamkan, mereka melakukan aktiviti menambah nilai wang di telefon bimbit pemain judi dalam talian di laman web judi terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, operasi itu dilakukan oleh sepasukan polis di bangunan di pekan Kota Marudu.

“Dua pekerja premis berkenaan berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui wang tunai sebanyak RM591 dan komputer riba serta pelbagai alat komputer dipercayai digunakan untuk kegiatan judi dalam talian di premis terbabit.

“Dua wanita itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam menjual ‘top up’ untuk kegiatan judi atas talian dan barang yang ditemui terpaksa dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 12:42pm
d