mutakhir

Dua pemancing hilang bot dinaiki karam

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

DUA pemancing hilang selepas bot yang mereka naiki bersama lapan rakan karam di perairan Rompin kira-kira 1.9 batu nautika dari Pulau Layak, Tanjung Gemok, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 9 pagi itu, dua mangsa yang hilang dikenali Alfa Rizuan Abd Aziz dan Azwan Abu Bakar.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, semua 10 pemancing bertolak dari jeti Tanjung Puteri, Kuala Rompin, Rompin 4 petang Jumaat lalu.

“Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang keesokan hari, bot mereka dimasuki air sebelum karam.

“Lapan pemancing berjaya diselamatkan oleh bot nelayan pukat jerut yang kebetulan melalui kawasan itu selepas 10 jam terapung di tengah laut namun dua pemancing didapati hilang,” katanya.

Katanya, mangsa yang terselamat membuat laporan di Balai Polis Tanjung Gemok semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan 8 pagi.

“Maritim Malaysia menggerakkan bot Maritim Pengalang dan operasi turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menggerakkan aset KD Pendekar.

“Difahamkan kedua-dua mangsa berasal dari Johor,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang nelayan turut dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut ketika melakukan kerja menangkap ikan 2 petang Sabtu lalu 6.8 batu nautika dari Jeti Kuala Rompin.

“Mangsa dikenali sebagai Sahidi Sahidin, 41, dan laporan kehilangan itu sudah dibuat pemilik bot,” katanya.

Maritim Malaysia giat melakukan operasi mencari semua mangsa yang hilang dengan turut dibantu persatuan nelayan tempatan.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 3:18pm
d