mutakhir

Belum terima laporan bedah siasat [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

MAHKAMAH Majistret Bukit Mertajam, hari ini menetapkan 4 April depan untuk sebutan semula kes bekas pekerja salon, K Vaitheswaran yang didakwa kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu mangsa terhumban dalam laut, Januari lalu.

Majistret Jamaliah Abd Manap menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan memaklumkan mahkamah bahawa laporan bedah siasat mangsa belum diterima dan seterusnya memohon satu tarikh sebutan baru.

Pada 11 Februari lalu, Vaitheswaran, 21, yang memandu Toyota Vios ketika kejadian mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian rakannya yang juga penuntut kolej swasta di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

Mengikut pertuduhan, Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Yun Peng.

Bagi kesalahan itu, Vaitheswaran didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga RM20,000, dan hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 20 Januari lalu, SUV Mazda CX-5 putih dipandu Yun Peng, yang juga penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas kenderaannya bergesel dengan Toyota Vios dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

Mayat Yun Peng yang terperangkap dalam kenderaannya hanya dapat dikeluarkan pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 3:47pm
d