mutakhir

Tutup sekolah jika IPU tak sihat

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

MANA-mana sekolah di lokasi mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) serius boleh menutup sekolah berkenaan tanpa perlu merujuk kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Menteri KPM, Teo Nie Ching berkata, penutupan itu bagaimanapun haruslah mengikut standard operasi biasa (SOP) yang ditetapkan.

“Maksudnya, kita (KPM) sudah turunkan kuasa kepada sekolah jadi tak perlu ke KPM untuk meminta kebenaran menutup sekolah atau hentikan aktiviti luar. Kami mahu mereka (pentadbir sekolah) buat keputusan sendiri.

“Kita sudah ada SOP untuk sekolah tentukan. Maksudnya bila sampai satu tahap tertentu, mereka wajib menutup sekolah atau bila tidak boleh ada aktiviti luar,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 12 tengah hari tadi merekodkan bacaan IPU tidak sihat di Rompin, Pahang dan Shah Alam.

Rompin merekodkan bacaan 151 manakala Shah Alam, 105.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 5:04pm
d