mutakhir

[UPDATE] Solat hajat di Christchurch

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TIGA puluh orang di kejiranan sekitar Christchurch, New Zealand mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon kesejahteraan seluruh umat Islam.

Majlis yang dihadiri rakyat Malaysia yang tinggal di sana itu turut memohon mangsa yang tercedera dalam kejadian serangan di dua masjid itu, Jumaat lalu cepat sembuh selain menemui semula Haziq Mohd Tarmizi, 17 yang masih hilang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, solat hajat itu dilakukan 8 malam (waktu tempatan) di rumah Rahimi Ahmad, 39, tidak jauh daripada masjid, yang mana dia juga masih menerima rawatan akibat terkena tembakan dalam kejadian itu.

“Solat hajat ini dilakukan di rumah keluarga Rahimi dan kita mohon semua dipermudahkan selain berharap keadaan semua mangsa kembali pulih,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, penduduk tempatan di Christchurch mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Dana Bantuan Malaysia Christchurch.

Tabung yang dibuka sejak 15 Mac lalu itu akan beroperasi sehingga 19 Mac ini.

Wakilnya, Nor Aida Baharuddin berkata, sumbangan itu adalah bagi membantu meringankan beban keluarga Malaysia yang terjejas dalam kejadian terbabit.

Katanya, akaun tabung berkenaan akan diuruskannya bersama dua lagi rakyat Malaysia iaitu Dr Ahmad Sufian Ab Rahman dan Wahidah Abdullah.

“Kami menyasarkan kutipan sumbangan berkenaan selama sebulan bagi membantu keluarga mangsa dan pertolongan terbabit mungkin mengambil sedikit masa.

“Memandangkan kami bukan organisasi rasmi, kami mohon maaf bahawa tiada resit rasmi dikeluarkan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Christchurch Dana Relief Malaysia Anz dengan nombor akaun 06-0817-0689455-00.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Nor Aida di talian +64221559397 dan emel ida jz@yahoo.com.au atau kepada Wahidah Abdullah di talian +6421551955 atau emel mizwhatever96yahoo.com

Sehingga kini tiga rakyat Malaysia, Rahimi, Mohd Tarmizi Shuib, 46, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang tercedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Christchurch manakala anak sulung Mohd Tarmizi iaitu Haziq, masih belum ditemui.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 5:59pm
    d