mutakhir

28 NGO serah memorandum

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad dan Sharul Nazri Zulkifli Chow

SEBANYAK 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, hari ini.

Ia diserahkan jurucakap Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohamad Zaidi Nordi, sebagai solidariti terhadap serangan pengganas di Masjid An-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.

Mohamad Zaidi berkata, mereka mengutuk insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan menyeru supaya kerajaan New Zealand bertindak mengekang ekstremisme nasionalis dan ideologi golongan berkulit putih.

“Ini bukan sekadar tindakan jenayah tetapi serangan pengganas terhadap komuniti tertentu,” katanya ketika sidang media di Menara IMC di Kuala Lumpur.

Turut hadir Presiden Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SYURA), Datuk Wira Abdul Ghani Samsudin.

Menurut Mohamad Zaidi, antara kandungan memorandum itu, pihaknya menggesa kerajaan New Zealand untuk mencegah kempen Islamophobia dan anti Islam daripada menjadi lebih besar dalam kalangan penduduk New Zealand dan untuk mewujudkan keamanan.

“Menanam kebencian terhadap umat Islam dan Islam menggalakkan pembunuhan secara besar-besaran di masjid,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, Hunter Nottahe berkata, pihaknya akan menghantar memorandum berkenaan secepat mungkin kepada Perdana Menteri New Zeland, Jacinda Ardern.

“Presiden New Zealand berasa sedih dan kesal dengan pembunuhan golongan yang tidak berdosa dalam serangan pengganas yang tidak berperikemanusiaan.

“Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Malaysia berasa simpati terhadap mangsa, keluarga dan komuniti di negara ini,” katanya.

Dalam insiden itu Jumaat lalu, seramai 50 terkorban dan puluhan lagi parah, termasuk dua rakyat Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 6:18pm
    d