mutakhir

[UPDATE] Usul tergempar kutuk serangan di Christchurch

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan usul tergempar mengutuk serangan di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 umat Islam dan 50 orang lagi cedera di negara itu.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, Malaysia bersedih dan mengutuk perbuatan itu.

“Serangan terhadap dua masjid oleh pelampau dan pengganas adalah perbuatan yang sangat ganas, jelek dan keji, justeru ia harus dikecam semua pihak.

“Bagi Parlimen Malaysia, saya mengucapkan takziah dan simpati yang tinggi kepada keluarga serta mangsa yang terkorban dan tercedera, difahamkan turut membabitkan tiga rakyat Malaysia yang tercedera akibat insiden ini sementara seorang dilaporkan masih lagi hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan takziah Parlimen Malaysia selepas usul tergempar berkenaan dibentang dan dibahaskan.

Mohamad Arif berkata, Parlimen juga berdiri bersama dengan Kerajaan dan Parlimen New Zealand dalam menolak keganasan, kebencian dan kekerasan dalam segenap bentuk.

“Kami yakin bahawa Kerajaan New Zealand akan pastikan keadilan dapat dilaksanakan bagi mangsa kejadian ini dan mengembalikan keamanan dan keharmonian di New Zealand seperti sedia kala,” katanya.

Beliau kemudian meminta Sidang Dewan membaca al-Fatihah dan bertafakur selama seminit untuk mangsa serangan pengganas itu.

Terdahulu usul berkenaan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) sebelum dibahaskan penyokong kerajaan dan pembangkang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas), Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong).

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya kemudian menjawab usul berkenaan sebelum digulung Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Jumaat lalu dunia dikejutkan dengan tragedi serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand.

Menurut kenyataan terkini polis New Zealand, 50 orang terbunuh dan 50 lagi cedera.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 7:00pm
    d