mutakhir

Remaja tak ingat asal usul

Oleh Ahmad Ismail

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat meminta kerjasama orang ramai membantu mengesan waris seorang remaja lelaki berstatus gelandangan yang tiada pengenalan diri selain tidak tahu alamat terakhir keluarganya.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat, Siti Sarah Ahmad berkata, remaja berkenaan, Muhammad Nabil Fikri Radin, dianggarkan berusia 14 tahun diselamatkan Unit Penguatkuasa JKM Segamat, Johor, melalui Ops ‘Orang Papa’ pada jam 12 tengah hari, 12 Mac lalu.

Katanya, remaja terbabit ditemui di Dataran Segamat dan hasil siasatan mendapati dia menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat berlindung sejak beberapa hari lalu sebelum diselamatkan.

“Hasil siasatan awal mendapati remaja itu tiada dokumen pengenalan diri dan pemeriksaan cap jari di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Segamat tidak menemui rekod identiti.

“Remaja itu mendakwa ibu bapanya meninggal dunia pada September 2018 akibat kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya tadi.

Menurutnya, pada masa sama, Muhammad Nabil Fikri Radin mendakwa tidak tahu atau ingat alamat tempat tinggal saudara mara dan mengaku berasal dari Johor Bahru.

Katanya, selain itu dia mendakwa masih mempunyai datuk dan nenek yang tinggal di sebuah FELDA di Rompin, Pahang.

“Berikutan itu, kami mendapatkan perintah Mahkamah Majistret Segamat pada 12 Mac lalu untuk menempatkan remaja itu di institusi JKM buat sementara waktu sehingga Mahkamah Bagi Kanak-kanak Segamat bersidang pada 8 April ini.

“Pada masa sama, kami merayu orang ramai yang mengenalinya supaya menghubungi JKM Segamat di nombor 07-9311331 bagi memudahkan urusan pengenalan diri selain dokumentasi berkaitan penjagaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 7:34pm
d