mutakhir

Sindiket 'lesen terbang' masih aktif

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SINDIKET ‘lesen terbang’ yang menggunakan Facebook (FB) untuk menawarkan perkhidmatan mereka dikesan masih lagi aktif walaupun kegiatan itu dibongkar minggu lalu.

Masih menggunakan nama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mereka seolah-olah tidak serik malah ia turut disebarkan menggunakan aplikasi WhatsApp.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie berkata, sebelum ini sindiket terbabit menggunakan logo JPJ, namun akaun itu didapati tidak lagi aktif selepas didedahkan Harian Metro, Selasa lalu.

Bagaimanapun katanya, semakan terbaru pihaknya mendapati wujud akaun FB lain dipercayai dikendalikan sindiket sama yang menawarkan lesen terbang pada harga bermula RM350 tanpa melalui ujian seperti sepatutnya.

“Kita hairan bagaimana mereka terus menipu orang ramai yang ingin mendapatkan lesen dengan cara mudah. Kalau dilihat daripada iklan dipaparkan, sudah pasti kita akan terpedaya kerana mereka mendakwa mempunyai orang tengah yang akan mengeluarkan lesen,” katanya.

Mohammad Hisham berkata, sejak isu berkenaan didedahkan, PPJK menerima banyak aduan daripada orang ramai yang keliru dengan kewujudan lesen itu sama ada ia sah di sisi undang-undang atau pun tidak.

Menurutnya, PPJK akan membawa isu itu kepada Kementerian Pengangkutan dan sedang mengumpul maklumat berkaitan bagi membantu pihak berkuasa mengesan dalang terbabit.

“Ketua Pengarah JPJ sudah memberi jaminan akan menyiasat isu ini. Cuma, kita di peringkat badan bukan kerajaan masih lagi menerima aduan, bermakna ia masih berlaku.

“Penting juga untuk masyarakat tahu bahawa, sindiket ini licik memperdaya orang ramai menerusi tawaran sebegitu. Bila sampai masanya, akaun terbabit akan ditutup, dan mereka akan buka akaun baru menggunakan modus operandi sama,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 8:01pm
d