mutakhir

Pokok kemudu nyaris ragut nyawa

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“MUJUR ketika kejadian dua anak saya berusia dua dan tujuh tahun berada di rumah tamu kerana biasanya mereka bermain dalam bilik. Namun mereka bernasib baik apabila pokok kemudu di tepi rumah tumbang menghempap bahagian bumbung menyebabkan siling pecah,” kata Md Zam Md Piah, 49.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang tadi, bumbung enam rumah di Kampung Padang Meha, Sungai Karangan, Kulim, Kedah, turut diterbangkan angin kencang susulan hujan lebat dan ribut petir yang berlaku.

Bagaimanapun, rumah Md Zam rosak teruk di bahagian bumbung dan bilik tidur akibat dihempap pokok sebesar pemeluk yang tumbang.

Md Zam berkata, ketika kejadian isterinya keluar berniaga dan dia menjaga dua anak perempuannya di dalam rumah sebelum terdengar bunyi kuat di bahagian bilik.

Katanya, apabila diperiksa dia mendapati bahagian siling bilik berkenaan pecah manakala bumbung pula ranap ditimpa pokok yang sudah reput.

“Saya syukur kerana kami tiga beranak terselamat dalam kejadian ini sebelum segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim untuk meminta bantuan,” katanya tadi.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim/Bandar Baharu, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.40 malam dan tiba di lokasi jam 8.30 malam berikutan lokasi yang agak jauh.

Beliau berkata, enam anggota APM membantu memotong dahan pokok yang ranap di sebuah rumah selain membersihkan kawasan kampung berkenaan berikutan banyak bumbung diterbangkan angin.

“Operasi pembersihan masih dijalankan sehingga sekarang. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 11:18pm
d