mutakhir

Bantu siasatan skandal RM30 juta [METROTV]

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

TIGA individu direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan skandal projek membabitkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dianggarkan bernilai RM30 juta.

Tempoh reman ke atas suspek berusia 43 hingga 56 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal iaitu sehingga 23 Mac ini.

Mereka yang direman itu terdiri daripada pegawai kanan SSM dan dua pengarah dari dua syarikat IT terkemuka di ibu negara.

Semalam, media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan suspek kira-kira jam 11 pagi di pejabat dan rumah mereka di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta ibu negara.

Sumber berkata, pegawai kanan SSM itu dikatakan bersubahat dengan dua syarikat IT berkenaan bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pada masa sama, sumber dilaporkan berkata, dua pengarah syarikat itu pula dipercayai mengaut keuntungan dengan melakukan perkhidmatan perisian tanpa mengikut peraturan SKMM.

Berikutan itu, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek dibawa ke mahkamah oleh pegawai SPRM jam 9.20 pagi serta memakai baju lokap SPRM.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 12:36pm
d