mutakhir

Dipenjara lapan tahun, lima sebatan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PEKERJA kedai mencuci kereta dipenjara lapan tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, selepas mengaku bersalah merompak dan mencederakan warga Bangladesh, tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Syahrul Izuwan Azman, 25, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Februari 2019.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak tiga beg duit, satu beg silang, satu pemotong besi, dua gerudi, tiga telefon bimbit dan wang tunai RM1,000 serta mencederakan Mohammad Kalam Arju, 35.

Kesalahan dilakukan di rumah kongsi di Kampung Sungai Hala, Machang pada jam 1.20 pagi, 31 Mei 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh masuk menerusi pintu rumah dan memukul bahu dan jari mangsa dengan parang.

Seorang lagi rakan tertuduh masuk melalui tingkap dan menetak kepala rakan mangsa dengan parang.

Tertuduh dan rakannya kemudian mengambil barang di dalam rumah mangsa sebelum melarikan diri.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira penggunaan senjata.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 12:59pm
d