mutakhir

'Tolonglah anak saya...'

Oleh Ramli Ibrahim

“TOLONGLAH sesiapa yang tahu cara merawat ketumbuhan anak saya ini,” kata Zariah Wahab, 39, yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, dekat Gua Musang.

Ketumbuhan di belakang badan anaknya, Muhamad Arshad Daniel Halim, 12, mula dikesan sejak lahir namun semakin serius sejak sebulan lalu.

Lebih menyedihkan, Zariah hilang tempat bergantung selepas suaminya, Halim Setapa, 49, meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) kerana penyakit hati dan usus sebulan lalu.

Zariah berkata, setiap hari ketumbuhan itu membesar dan sepanjang hari anaknya menangis kerana tidak dapat menahan kesakitan.

“Malam tadi keadaan kesihatan Daniel amat teruk dan hampir sejam bermula 10 malam dia tidak sedarkan diri kerana terlampau sakit selain keluar darah banyak.

“Dia akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akhir tahun ini dan tak tahulah sama ada dia boleh menduduki peperiksaan itu atau tidak,” katanya.

Menurutnya, Daniel sudah beberapa kali dibawa ke hospital namun tiada jalan penyelesaian.

“Pada mulanya Daniel dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZ II) dan dihantar pula ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Selepas berada di HUSM, doktor benarkan pulang kerana tidak boleh lakukan pembedahan dan tidak mahu tanggung risiko,” katanya.

Katanya, dia tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anaknya itu.

“Setiap bulan saya terpaksa bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 sebulan selain perlu menyara dua anak yang bersekolah,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zariah Wahab 01117800248 atau menghulur bantuan ke akaun Maybank 503042314686.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 1:17pm
d