mutakhir

Tiada bukti rawatan bekam berkesan

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

TIADA bukti kukuh untuk menyokong keberkesanan bekam dalam merawat penyakit. Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tadi.

Beliau berkata, Laporan Penilaian Teknologi berkenaan bekam pada tahun 2012 menyatakan tiada bukti kukuh keberkesanannya atas penyakit termasuk herpes zoster (cacar), facial paralysis (strok muka), back pain (sakit belakang) dan spondalysis (sakit tulang belakang).

Selain itu katanya, penyakit lain juga termasuk cerebrovascular accident (strok), hypertension (hipertensi), fibromyalgia (penyakit saraf), bronchitis (radang pada kerongkong), asthma (asma) dan sakit kepala.

“Bagaimanapun kementerian, akan meneruskan kajian dan menghasilkan satu Laporan Teknologi Kesihatan berkenaan Wet Cupping Diabetes and Cardiovascular Disease yang akan meneliti bukti saintifik berkaitan keberkesanan bekam basah bagi kedua-dua indikasi berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang mahu tahu sama ada kementerian berhasrat menggunakan kaedah bekam di hospital kerajaan bagi menangani penyakit kronik dan dapat mengurangkan kos rawatan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, pengenalan perkhidmatan bekam di fasiliti kesihatan kerajaan boleh dipertimbangkan.

“Ia boleh dibuat berdasarkan laporan penilaian teknologi berkenaan dan situasi semasa,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 3:35pm
d