mutakhir

Himpunan solidariti, bukan majlis pengebumian [METROTV]

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Suraya Roslan

“BUKAN majlis pengebumian mangsa tembakan sebaliknya, perhimpunan solidariti anjuran Persatuan Penuntut Universiti Canterburry (UCSA) bagi menghormati tragedi yang berlaku,” kata Shahmi Aiman Saiful Adly, 21, penuntut Malaysia di UCSA.

Dia yang juga anak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saiful Adly Abu Bakar berkata demikian menjelaskan video tular yang kononnya seorang rakyat Malaysia membaca al-Quran di majlis pengebumian mangsa pembunuhan di dua masjid di Christchurch, Jumaat lalu.

Menurutnya, dia diminta oleh wakil UCSA untuk membacakan doa ketika himpunan itu sebelum terlintas untuk mengalunkan sekali surah al-Baqarah ayat 154 hingga 157 bersama maksudnya.

Katanya, himpunan itu di padang Universiti Canterburry, New Zealand, semalam dan dihadiri kurang 10,000 penuntut universiti itu.

“Selepas membaca doa, saya tergerak hati untuk membaca surah al-Baqarah serta terjemahannya bagi membolehkan semua yang hadir menghayati maksud bacaan itu.

“Ada penuntut tempatan yang sebak dan mengalirkan air mata sebaik saya mengalunkan bacaan al-Quran ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Saiful Adly ketika dihubungi berkata, bangga dan terharu dengan apa yang dilakukan anaknya.

Sebelum ini tular sebuah video berdurasi satu minit 28 saat di media sosial mendakwa anak kepada Saiful Adly membaca al-Quran pada majlis pengebumian mangsa tembakan di dua masjid di Christchurch.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 4:07pm
    d