mutakhir

Asuh si cilik cinta al-Quran

Oleh Nur Saliawati Salberi

DALAM usaha membudaya dan menanam rasa cinta terhadap al-Quran, 700 murid tadika swasta dari seluruh negeri dikumpulkan di Masjid Cina, Krubong, Melaka, hari ini, bagi menyertai program ‘Kids QuranHour’.

Peserta program membabitkan murid berusia tiga hingga enam tahun daripada 27 tadika swasta yang beroperasi di negeri ini.

Program kali kedua yang dianjurkan Persatuan Tadika Swasta Negeri Melaka (PTSNM) itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai al-Quran.

Pengerusi PTSNM Suhaili Othman berkata, penganjuran itu bukan saja bertujuan memberi pendedahan malah menyemai budaya mencintai al-Quran dalam kalangan murid seawal usia tiga tahun.

“Murid terbabit dalam program ini bukan setakat boleh membaca surah lazim malah mampu menghafal dan faham akan maksudnya.

“Selain membaca al-Quran, kanak-kanak ini turut diajar solat Dhuha,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian penutup Kids QuranHour disempurnakan Pengerusi HARWANIS negeri Dalilah Awaludin.

Katanya, pengisian program kali ini turut membabitkan persembahan daripada murid tadika.

Sementara itu guru tadika Nur Nazihah Minal berkata, setiap murid mempunyai ragam berbeza menyebabkan guru perlu kreatif bagi menarik minat mereka menghafal surah lazim.

Menurutnya, pada kebiasaan murid tadika mampu menghafal antara lima hingga lapan surah.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 5:35pm
d